5 Rahsia Agar Suami Bersikap Terbuka


Keluhan seperti, “susahnya nak faham, saya tak tahu apa yang dia sedang fikirkan…” sering kita dengar daripada mulut si isteri. Dari hasil suatu kajian menunjukkan bahawa 42 peratus wanita memiliki kesukaran untuk membuat pasangannya bersikap terbuka atau lebih terbuka. Jika hal tersebut berlaku, wanita sering merasa putus asa, kecewa dan si suami pula akan merasa dipersalahkan. Lelaki hanya ingin berbincang dalam keadaan-keadaan tertentu. Kebanyakan lelaki tidak mahu rasa terbeban. Jadi, apakah rahsianya yang boleh membuatkan pasangan anda akan lebih terbuka?

Rahsia 1

Lelaki takut akan penolakan. Kebanyakan lelaki merasakan bahawa wanita sangat kritis terhadap mereka dan mereka bimbang jika mereka bersikap terbuka, orang lain akan mentertawakan, membiarkan mereka merasa diketepikan dan malu. Penting bagi wanita untuk menyedari bahawa ego dan keakuan seorang lelaki sangat rapuh, dan mudah terluka dibandingkan wanita. Lelaki biasanya berusaha untuk menarik perhatian pasangannya, mendapatkan respons dan merasa bahawa dia telah menyenangkan pasangannya. Jika seorang lelaki itu menganggap anda melihat dia dengan pandangan yang berbeza dari sebelumnya setelah dia mengatakan sesuatu hal, percayalah selepas itu dia sukar atau tidak akan berbicara lagi dengan anda.Untuk membuatkan seorang lelaki bersikap terbuka, dia harus berasa dirinya diterima oleh pasangan sebagai dirinya seadanya. Bersabarlah terhadapnya. Jika anda memberikan respons terhadap ucapannya dengan balasan bantahan seperti; “Itu tidak benar, saya tidak setuju dengan hal tersebut” Atau “Dari mana awak mendapat idea gila tu?” Tentu saja responnya langsung merendahkan dirinya. Mereka khuatir jika mereka mengucapkan sesuatu yang terlalu personal atau peribadi, berkemungkinan tidak sesuai dengan gambaran yang sedia ada. Jangan halang dia untuk mengungkapkan siapa dirinya yang sebenar. Jika anda dapat menyingkirkan semua harapan anda dan benar-benar cuba mencari siapa dirinya, dia akan segera merasakannya. Malah, dia akan merasa lebih mudah dan senang untuk berbicara dengan anda.

Rahsia 2

Kongsi juga rahsia anda dengannya. Pastilah anda saling bergantung antara pasangan. Kebanyakan lelaki berfikir, “Jika saya menceritakan hal tersebut, pasti dia akan meninggalkan saya”. Anda harus menunjukkan padanya bahawa anda percaya padanya sehingga anda pun bersikap terbuka dan berkongsi apa sahaja rahsia anda. Pada saat dia mula bersikap terbuka, dengarkanlah apa yang ingin dikatakannya, kemudian tawarkan sesuatu yang positif padanya. Contoh: “Pengalaman abang boleh tahan sedihnya, saya pun pernah mengalaminya” atau “Saya kagum atas tindakan awak waktu itu” dan ambillah contoh dari ceritanya tadi yang membuatkan anda kagum padanya (jangan pula terlalu berpura-pura, kerana semua orang boleh perasan kalau lawan cakapnya sedang mengatakan sesuatu yang tidak benar). Biarkan dia mengetahui bahawa anda adalah di pihaknya dan dia tidak bersendirian dalam pengalamannya.Kebanyakan wanita mendengar apa yang dikatakan lelaki dan memberi respons negatif dengan memberikan cadangan seharusnya tindakan kamu patut begini atau begitu. Penting untuk melihat situasi dari sudut pandangan dia. Kejujuran dan respons positif dari anda sangat diharapkannya. Pasangan anda akan merasa ada seseorang yang cukup memahami dan memberi perhatian kepadanya. Dan ini akan membuatkan mereka lebih terbuka lagi dengan anda.

Rahsia 3

Lupakan masa lalu. Pernahkah anda berbincang dengan pasangan anda dan berakhir dengan keadaan yang tidak menyeronokkan kerana kesalahan masa lalu yang dilakukannya. Atau mungkin kerana sikapnya yang menyakitkan hati dan menyinggung perasaan anda. Jika seseorang lelaki merasa bahawa kata-katanya nanti akan disalah ertikan, nampaknya makin susahlah dia ingin bersikap terbuka. Dan satu-satunya cara untuk menghindar dari jerat komunikasi seperti ini adalah menyedari bahawa apa pun yang terjadi di masa lalu, atau apa pun yang dikatakan atau dilakukan olehnya, anda terlibat sama di dalamnya.Semua hubungan adalah seperti tarian, tidak ada yang lebih baik atau pun lebih buruk. Kemampuan untuk memaafkan menjadi mudah jika anda cuba memahami bahawa apa saja sikapnya terutama sikap negatif pada dirinya setahun lalu (juga tentang diri anda), mungkin sudah tidak ada lagi pada waktu ini. Komunikasi yang baik memerlukan kemampuan untuk tetap berpegang pada sikap dan keadaan di masa sekarang dan membiarkan masa silam berlalu.

Rahsia 4

Menjadi pendengar yang baik dan melindungi. Bolehkah anda mendapat hubungan yang jujur? Dan alasan terbesar orang yang tidak jujur adalah kerana akibatnya yang juga terlalu besar. Kebanyakan lelaki berpendapat wanita ingin dan perlu dibohongi kerana mereka tidak dapat menerima kejujuran. Lagi pun mereka khuatir pasangannya akan sedih. Kenyataannya, kebanyakan wanita menggunakan emosi mereka untuk mengawal lelaki dan mengawal hubungan mereka. Mereka menuntut respons yang jitu daripada pasangannya dan merasa stres bila mereka tidak mendapatkannya.Tetapi dengan keinginan pasangannya untuk mendengar apa yang harus dia katakan merupakan peringkat awal hubungan yang dewasa. Ini memberikan pada lelaki suatu perasaan bahawa dia memiliki pasangan yang baik yang akan bersamanya dalam suka dan duka. Kemampuan untuk menerima kejujuran dari orang lain meningkatkan kesedaran kita bahawa keharmonian tidak datang kerana persetujuan dari pihak lain, namun dari keikhlasan terhadap diri sendiri.

Rahsia 5

Kebenaran dan keikhlasan pada diri sendiri; waspadalah! Cara yang paling baik untuk membantu seorang lelaki bersikap terbuka adalah terbuka terhadap diri sendiri, dan ciptakan suasana yang hangat dan dapat diterima oleh dirinya. Contoh, dapatkah anda memaaafkan diri anda sendiri atas kesilapan yang dibuat pada masa lalu? Atau anda sentiasa diliputi dengan perasaan bersalah atas kesalahan yang dibuat dulu? Ketika anda memperlakukan diri anda seperti ini, secara semula jadi pasti anda akan melakukan hal tersebut pada pasangan anda.Jika anda terluka, ini kesempatan anda untuk membuat keputusan agar hidup anda tidak dibayangi masa lalu lagi. Kadangkala kita mahu orang lain menerima hal yang sama kembali. Jika anda tidak dapat terima, kekecewaan mulai timbul. Anda harus menyedari bahawa anda akan memberi lebih banyak dari apa yang akan anda terima. Ketika anda memberi pasangan atau orang lain rasa hormat tanpa syarat, anda memberikan hal tersebut juga untuk diri anda sendiri.

Sumber: Mingguan Wanita

10 Cara Biar Lebih Disayangi Suami

Memang tidak adil jika kita hanya meminta para lelaki yakni hanya suami yang menanggung semua keperluan dalam sesebuah hubungan. Sesekali apa salahnya anda pula yang mengambil alih tanggungjawab tersebut. Tapi janganlah sampai anda pula menjadi pengendali dalam bahtera hubungan anda berdua. Keadaan berat sebelah seperti ini akan menyebabkan perjalanan rumah tangga atau hubungan perkasihan anda tidak akan berjalan lancar. Oleh sebab itu, prinsip give and take perlu betul-betul diterapkan.
Bagi lelaki memikul kesemua tanggungjawabnya bukan satu masalah. Bagi mereka asalkan isteri atau kekasih senang, mereka sanggup lakukan apa sahaja. Tapi sebagai isteri atau pasangan yang setia, anda juga perlu melakukan sesuatu yang bermakna. Jika anda ada sikap tolak ansur,sudah pasti anda akan semakin disayangi pasangan.
Untuk itu, cuba beberapa tip berikut ini:

1) Sempatkan diri anda menyapa suami ketika anda atau dia mahu ke pejabat atau hubunginya melalui telefon di pejabatnya dan katakan bahawa anda akan merinduinya sepanjang hari itu. Ciuman kasih juga boleh diberikan kepada suami sebelum dia melangkah ke tempat kerja.

2) Ungkapkan rasa cinta anda dengan pelbagai cara unik. Misalnya, kirimkan pesan cinta singkat melalui SMS di telefon bimbit atau emelnya. Atau, selitkan pesanan “Selamat makan, sayang” dalam bekalan makanan tengaharinya jika anda membekalkan makanan tengahari dari rumah untuk suami.

3) Sesekali, buat janji makan tengahari bersamanya secara spontan. Ajak dia ke restoran tempat pertama kali anda makan berdua ketika bercinta dahulu (kalau tempat itu masih di daerah tempat anda tinggal sekarang).

4) Biarkan dia membantupekerjaan anda. Jangan lupa ucapkan terima kasih setelah itu, lalu pujilah usahanya membantu anda.
5) Sesekali ajak dia menonton wayang di pawagam. Biarkan dia yang menentukan filem apa yang mahu ditonton. Memberi pujian dengan mengatakan bahawa dia pun sehebat hero dalam filem itu. Sebutkan beberapa kebaikannya yang membuat anda sangat menyintai dan menyayanginya, walaupun mungkin wajahnya tidak sekacak hero dalam filem yang anda tonton itu.

6) Jika dia merancang mahu menonton siaran langsung sukan kegemarannya di kaca TV pada tengah malam, sediakan makanan ringan kesukaannya. Esok pagi, tanyakan berapa gol atau skor yang diperoleh oleh pasukan kesukaan. Biar suami menyedari sikap prihatin anda terhadapnya atau sekurang-kurangnya dia dapat merasakan betapa anda begitu menghargainya.

7) Tidak perlu menunggu hari ulang tahunnya untuk memberikan hadiah. Berikan kejutan berupa hadiah-hadiah kecil seperti aksesori kereta, tali leher atau kaset penyanyi atau group band kegemarannya.

8) Tertawalah ketika mendengar gurauannya, atau menyanyilah bersamanya biarpun suaranya terdengar sumbang.

9) Berusahalah bergaul dengan para sahabatnya. Anggap dia seperti teman anda sendiri. Jika mereka menceritakan kisah nostalgia masa lalu, dengarkan bersungguh-sungguh, meskipun anda sudah mendengar cerita-cerita itu.

10) Simpan gambarnya di dompet anda.

Sumber: Mingguan Wanita (25-31 Julai 2003)

15 Faktor Kebahagiaan Rumah Tangga

Sejak tahun 1970-an, golongan muda berpaut pada status bujang selama purata lima tahun lebih lama. Hari ini, menurut Pusat Perangkaan Kesihatan Negara, usia purata bagi wanita untuk berkahwin ialah 28, manakala bagi lelaki, 29.



Keinginan mereka untuk menunggu sering berpunca daripada keperluan “untuk berasa pasti” dengan pilihan pasangan masing-masing. Menunggu sehingga berasa pasti adalah amalan yang elok bagi suatu keputusan sepenting ini. Sebagai seorang pakar psikologi yang bekerja dengan ratusan bujang dan pasangan suami isteri, saya sentiasa kagum dengan bilangan orang yang terjerumus ke alam perkahwinan kemudian hairan mengapa hubungan mereka bertambah pudar dan sengsara atau penuh dengan pertengkaran. Tidak terlintas pun di fikiran mereka untuk membuat keputusan berkahwin secara objektif dan proaktif (sebelum perkahwinan).

Kebanyakan daripada rumah tangga runtuh yang saya temui sudah bermasalah sejak hari pertama. Mengapa? Kedua-dua orang yang terlibat tersalah pilih pasangan, itu sahaja.

Pilihan pasangan hidup anda adalah lebih penting daripada apa jua yang anda lakukan untuk membahagiakan rumah tangga anda. Itu mungkin bunyinya seperti mudah sahaja dilakukan, tetapi anda akan terkejut dengan peratusan tinggi orang yang tidak sabar-sabar melangsungkan perkahwinan sehinggakan mereka tidak menumpukan masa dan usaha yang diperlukan untuk membuat keputusan yang baik. Jika anda ingin memastikan peluang terbaik untuk anda menikmati perkahwinan yang memuaskan dan berkekalan, timbangkan faktor-faktor pemilihan pasangan yang berikut:

  1. Pasangan yang berkenalan selama dua tahun atau lebih mempunyai peluang yang nyata lebih baik untuk mendirikan rumah tangga yang bahagia dan berkekalan. Apabila suatu pasangan bersedia mengambil keputusan yang melibatkan segala-galanya, iaitu perkahwinan, selepas hanya berkenalan selama beberapa bulan, saya kira tentu keputusan mereka lebih berdasarkan khayalan dan kurang berdasarkan hakikat. Ia menunjukkan kepada saya bahawa usaha bersungguh-sungguh untuk mengekalkan rumah tangga telah diringan-ringankan dengan ketara. Malahan, kajian menunjukkan bahawa pasangan yang telah berkenalan selama dua tahun atau lebih kesemuanya lebih berpuas hati dengan perkahwinan mereka berbanding pasangan yang berkenalan selama jangka masa yang lebih pendek.
  2. Orang sering memilih pasangan semata-mata untuk menggembirakan orang lain – ayah, ibu, atau orang yang menyuruh mereka berkahwin – tetapi adalah teramat penting agar orang yang akan berkahwin itu sendiri berasa gembira. Keputusan anda hendaklah dibuat berasaskan keperluan dan impian anda sendiri. Anda juga patut mendengar pendapat sahabat-handai dan kaum keluarga dengan teliti, tetapi jangan biarkan orang lain memilih pasangan hidup bagi anda.
  3. Harapan yang tidak wajar terhadap perkahwinan mungkin menjadi sebab utama bagi kebanyakan perceraian awal. Ramai lelaki dan wanita memasuki alam perkahwinan dengan sangkaan bahawa pasangan mereka akan memenuhi semua keperluan mereka dan bahawa perasaan romantik mereka akan kekal abadi. Sebenarnya, rumah tangga yang bahagia memerlukan begitu banyak usaha, kesabaran dan ketabahan. Saya telah melihat banyak rumah tangga yang runtuh kerana pasangan mengharapkan kehidupan yang dipenuhi oleh suasana aman tenteram, waktu berdua-duaan di pantai, nikmat cinta berahi dan keseronokan yang tidak henti-henti. Kesemua ini bukan hakikat sebenar. Read the rest of this entry »

20 Perkara Papa Perlu Tahu Tentang Penyusuan

Menyusukan bayi dengan susu ibu secara esklusif memang memerlukan komitmen yang besar. Bukan sahaja daripada si ibu tetapi juga daripada bapa. Jadi, sebagai bapa, anda perlulah tahu khasiat yang terkandung dalam susu tersebut dan kebaikan pada isteri.

  1. Penyusuan pertama seeloknya dilakukan secepat mungkin selepas bayi dilahirkan untuk merangsang penghasilan dan pengaliran susu yang baik.
  2. Sebelum menyusukan bayi, ibu haruslah melembutkan payu dara dengan meletakkan tuala hangat pada payu dara selama beberapa minit.
  3. Susu badan mengandungi 87.5 peratus air. Oleh itu, banyakkan minum air sekurang-kurangnya enam hingga lapan gelas sehari.
  4. Semakin kerap ibu menyusukan bayinya, semakin banyak susu dihasilkan.
  5. Ibu yang menyusukan bayinya secara eksklusif akan kerap lapar.
  6. Sepanjang tempoh menyusu, bayi akan makan apa saja makanan yang dimakan oleh ibunya. Oleh itu, ibu haruslah mengawasi pengambilan kafeina, alkohol, nikotin dan gula kerana bahan-bahan tersebut mudah meresap ke dalam susu ibu dan akan memberikan kesan buruk kepada bayi.
  7. Ibu-ibu digalakkan kerap menyusukan bayinya pada waktu malam kerana itu hormon prolaktin akan dikeluarkan pada tahap yang paling tinggi.
  8. Ibu yang menyusukan bayinya, dinasihatkan agar berhati-hati semasa mencuci payudara. Elakkan daripada menyapu sabun pada bahagian aerola dan puting bagi mengelakkan kekeringan pada bahagian tersebut…. BERSAMBUNG…

Tip Menjadi Pekerja dan Ibu Bertanggungjawab

Bergelar ibu serta mempunyai karier tetap, bukan fenomena yang baru dalam masyarakat moden masa kini. Malah kehidupan keluarga moden telah mengalami beberapa perubahan yang pesat. Dua puluh tahun yang lalu, hanya si ayah bekerja, sedangkan ibu berada di rumah sepanjang hari, menjaga anak-anak. BERSAMBUNG…..

« Older entries

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.