Suami Tak Hilang Gagah Jika Bantu Buat Kerja Rumah

Kehidupan wanita masa kini sememangnya mencabar. Kalau dulu ramai wanita memilih untuk duduk di rumah dan menguruskan rumahtangga sepenuhnya , kini tidak lagi. Wanita bergelar isteri ketika ini sudah sama-sama bergandingan dengan suami keluar mencari nafkah. Apatah lagi jika pasangan suami isteri ini tinggal di dalam kota metropolitan seperti KL ataupun di bandar-bandar. Yang mana kos sara hidup sangat tinggi. Kedua-dua harus bekerja untuk menampung perbelanjaan.

Keadaan ini juga bermakna wanita yang sudah berumahtangga dibebani dengan banyak tugas. Bayangkan bangun seawal 6 pagi untuk menguruskan anak ke sekolah dan juga suami, kemudian bergegas pula menempuh kesesakan ke tempat kerja. Sepanjang siang bekerja, si isteri hanya akan pulang paling tidak jam 7 malam. Berlainan dengan suami yang boleh berehat setelah sampai di rumah, isteri pantas menukar pakaian untuk menyambung tugas di rumah pula. Kerja seterusnya adalah memasak untu k makan malam, melayan anak dan juga mengemas apa yang patut. Setelah makan dan bersantai seketika di hadapan TV mata sudah pun mengantuk, tapi tugas seorang isteri belum habis di situ. Malam menjelma tiba giliran melayan si suami pula.

Aduh…penatnya memang tidak habis. Namun beban tugas dan kepenatan seorang wanita berkarier dapat dikurangkan sekiranya suami membantu. Beban tugas yang ada boleh dikurangkan sekiranya ada pembahagian tugas dengan suami.

Namun begitu ada isteri tidak tergamak untuk meluahkan permintaan agar dibantu. Lantas segalanya dilakukan sendiri. Rasa tidak puas hati dipendam seorang diri. Akan tetapi situasi inilah yang memakan diri. Perasaan tidak puashati yang disimpan mungkin akan meletus dan tidak mustahil menimbulkan konfilik rumahtangga yang serius.

Sebenarnya pembahagian tugas antara suami isteri amatlah penting untuk memastikan kerukunan rumah tangga dan bebanan yang dipikul oleh keduanya seimbang. Pembahagian tugas juga mampu mempercepatkan pengurusan rumahtangga.

Tapi masalahnya bagaimana hendak berbicara dengan suami tentang hal pembahagian tugas? Setengah wanita berat beban kerja yang dipikul, berat lagi mulut untuk meminta suami berkongsi tugas. Namun jangan risau ada cara yang boleh dilakukan untuk memastikan suami dengan rela menggalas sebahagian beban kerja rumah anda.

CARA MEMBAHAGI TUGAS

Kata kunci dalam hal ini adalah, saling berkomunikasi, bertoleransi dan juga berbincang untuk membahagikan tugas. Bagi memastikan pasangan memahami situasi beban tugas, anda ikuti langkah-langkah berikut:-

  1. Berterus terang dan terbuka – Cubalah berbicara dengan suami dengan jujur dan terbuka tentang pembahagian tugas rumahtangga yang anda inginkan. Terangkan apa bantuan yang anda perlukan darinya selain menerangkan situasi anda bahawanya anda tidak dapat menangani semua perkara seorang diri melainkan dengan pertolongan darinya. Beritahu pada pasangan, anda yakin dirinya boleh melakukan tugas-tugas tersebut dan mungkin boleh melakukannya dengan lebih baik lagi. Sedikit pujian akan memberikan semangat untuk suami membantu anda.
  2. Sekadar membantu – Dalam pada itu, berikan penerangan bahawa anda sebenarnya bukan menyerahkan tugas 100 peratus kepada dirinya sebaliknya hanya sekadar membantu. Sebagai contoh anda hanya berkehendakkan dirinya membantu mengawasi anak-anak ketika anda memasak dan melakukan kerja-kerja rumah lain, membeli barangan dapur ataupun sekadar menyidai baju yang sudah siap dibasuh. Itu saja. Adalah cukup penting untuk melakukan perbincangan dan kompromi dengan pasangan agar dapat mewujud satu kesepakatan dan jalinan kerjasama yang baik dalam melaksanakan peranan dan tanggungjawab rumahtangga.
  3. Awasi nada anda – Ketika berbicara dengan suami perhatikan nada anda. Berkatalah dengan perlahan dan lembut. Ucapan dengan nada lembut biasanya lebih dihayati oleh pasangan berbanding dengan kata-kata kasar, kuat dan seakan memerintah. Perbincangan seperti ini akan membuatkan pasangan ikhlas membantu dalam tugas dan rumahtangga.
  4. Jangan ambil kesempatan – Sekiranya pasangan bersetuju dengan hasrat anda, jangan lupa untuk membahagikan tugas-tugas tersebut dengan seimbang berdasarkan kesepakatan yang anda raih. Jangan pula anda mengambil kesempatan atas kerelaanya itu untuk menambah lagi kerja yang harus dilakukan. Tindakan anda pasti akan dipandang serong oleh suami.
  5. Buat Penilaian – Bukan membuat penilaian tentang kualiti tugas suami tapi tentang pembahagian tugas yang telah anda lakukan. Adakah pembahagian tugas berjalan dengan baik ataupun timbul masalah kerana perbezaan pandangan antara anda berdua. Sekiranya ia tidak berlangsung seperti yang dikehendaki maka berbincanglah kembali. Tanyakan kepadanya masalah yang dihadapi dalam melakukan tugasan dan tawarkan bantuan untuk menyelesaikannya.
  6. Bicara semula – Jika mungkin keputusan daripada perbincangan agak negatif, pasangan keberatan untuk membantu melakukan tugas rumahtangga. Jika ini berlaku, ketepikan hal ini seketika dan bicarakannya semula di waktu lain. Tujuannya untuk memastikan keadaan perbincangan tidak ‘panas’.
  7. Janganlah jadikan beban – Sekiranya semua perkara berjalan dengan baik maka pastikan bahawa pembahagian tugas tersebut tidak menjadi beban bagi pasangan anda. Aturkan suasana yang menggembirakan baginya supaya dia melakukan tugasan dengan hati terbuka tanpa perlu membebel di belakang anda. Selain itu, jangan lupa untuk mengucapkan terima kasih pada dirinya dan katakan betapa anda hargai bantuan daripadanya.
  8. Jangan berat mulut minta bantuan – Sekiranya anda benar-benar sibuk, jangan berat mulut untuk meminta lebih bantuan kepada pasangan. Perkhawinan itu kan satu perkongsian termasuklah dari aspek tugas-tugas rumahtangga. Apatah lagi, di saat-saat anda memerlukannya. Lagipun, tidak akan hilang kegagahan suami jika membantu isteri malah inilah yang akan membuatkan suami kelihatan lebih hebat di mata wanita.

Sumber: Mingguan Wanita – 28 Sept – 4 Okt ’07

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: