Mengatasi Masalah Rendah Keyakinan Diri Bagi Surirumah

Ramai orang mahu mengubah cara hidup mereka daripada kehidupan korporat atau organisasi yang tegar kepada satu gaya hidup di mana mereka melakukan apa yang mereka suka dan apa yang paling bermakna dalam hidup mereka pada ketika itu. Tetapi mereka tidak tahu bagaimana mahu melakukannya.

Seorang wanita berkerjaya sering merasa sukar untuk menyesuaikan diri apabila mereka cuba beralih dari kehidupan berkerjaya kepada menjadi surirumah. Ia biasanya disertai dengan perasaan bersalah dan kemurungan. Wanita yang terpaksa berhenti kerja di luar rumah juga mengalami masalah rendah keyakinan diri.

Keyakinan diri berkaitan dengan imej diri dan nilai diri. Masalah rendah keyakinan diri berlaku apabila seseorang itu berasa dirinya kurang upaya berbanding orang lain. Ini biasa berlaku di kalangan wanita yang baru menjadi suri rumah dan juga di kalangan wanita yang telah lama menjadi suri rumah. Menguruskan rumahtangga dan emosi selain daripada bergiat aktif secara fizikal ialah satu cara untuk memperbaiki keyakinan diri.

Ramai wanita yang tidak sedar mengenai masalah keyakinan diri, seperti yang dijelaskan oleh Rachel, sehinggalah mereka berjumpa dengan wanita lain yang berada dalam situasi yang sama.

”Saya telah menceburi dunia korporat selama lebih daripada sepuluh tahun. Saya terpaksa berhenti akibat komplikasi semasa mengandung. Selepas melahirkan anak, saya mula mengalami kemurungan. Jika saya telah mendapatkan rawatan perubatan ketika itu, doktor tentu akan mendiagnosnya sebagai postpartum dan akan memberi pil penenang. Jauh di lubuk hati saya tahu bukan itu masalah sebenarnya, oleh itu saya hanya mendiamkan diri sahaja.

Apa yang saya tidak tahu ketika itu ialah saya sebenarnya sedang mengalami masalah rendah keyakinan diri. Daripada seorang yang dihormati dalam dunia korporat dan memperolehi pendapatan sendiri, saya kini hanyalah seorang suri rumah yang terpaksa bergantung kepada suami untuk kesemua perbelanjaan saya. Saya berhadapan dengan isu ini setiap hari, dan masalah ini semakin teruk apabila saya keletihan menjaga anak. Saya juga tidak mendapat sokongan emosi daripada suami dan keluarga.

Perkara yang paling mengusik perasaan ialah apabila saya sedang mengisi borang untuk mendapatkan kad keahlian sebuah gedung serbaneka. Saya mengisi kesemua soalan pada borang itu, dan apabila saya sampai ke kotak ‘Pekerjaan’, saya dengan sedih menulis, “Tiada”.

Selepas itu, saya pergi ke tandas dan menangis.

Tetapi seperti kata mereka, apabila anda jatuh hingga ke dasar, tiada tempat lain untuk anda pergi selain ke ‘atas’, kecuali jika anda memilih untuk terus berada di bawah.

Sejak daripada itu, kekusutan mental saya beransur-ansur menjadi lerai semula. Waktu tidur siang anak saya menjadi waktu untuk saya membaca buku-buku motivasi diri. Saya juga bernasib baik dapat menonton beberapa episod rancangan Oprah Winfrey yang membincangkan isu ‘Diri’. Saya menggunakan peluang itu untuk mengikuti seminar yang dianjurkan oleh Mothers for Mothers, di mana saya belajar bahawa menjadi seorang suri rumah ialah satu pilihan yang mulia dan saya masih boleh memperoleh pendapatan dari rumah.

Kemudian, kefahaman saya mengenai kemurungan yang sama alami mula menjadi jelas! Selama beberapa tahun saya telah mengidentitikan diri dengan sekeping kertas berukuran 9×5.5 cm – kad perniagaan saya. Nilai diri saya ketika itu didefinisikan melalui apa yang tertera pada kad itu. Apabila saya menjadi seorang suri rumah sepenuh masa, saya tiada lagi kad untuk dibawa ke mana-mana. Saya telah kehilangan identiti.

Dalam fikiran saya, diri saya tidak lagi wujud. Saya telah menjadi seorang yang tidak penting, tidak diperlukan dan tidak menyumbang apa-apa.

Selepas seminar itu, saya sedar bahawa saya telah mencipta keseluruhan identiti saya berdasarkan kerjaya. Apabila semua itu berakhir, saya tidak mempunyai identiti lagi. Saya merasa kehilangan, kosong, tidak berguna.

Selama setahun saya berusaha keluar daripada kemurungan. Dalam tempoh itu saya cuba mencari kembali diri saya yang hilang dan cuba mengubatinya dari dalam. Saya belajar untuk lebih mengenali diri sendiri dengan melihat siapakah diri saya sebenarnya, berbanding dengan siapa saya fikir diri saya ini. Ini ialah satu proses yang sungguh menyakitkan dan saya banyak menangis. Saya berkabung atas kehilangan wanita yang saya kenali dahulu.

Kini saya telah berubah. Keutamaan dan definisi hidup saya telah berubah. Saya mungkin kekurangan dari segi kebendaan, tetapi saya merasa lebih kaya. Saya kini lebih sibuk, tetapi saya dapat mengawal hidup saya. Saya menghadapi lebih banyak cabaran tetapi saya rasa lebih tenang. Saya juga akhirnya membuat sesuatu yang menggembirakan diri saya – menulis!

Saya gembira, lebih-lebih lagi atas kehadiran anak yang saya besarkan dan didik dengan penuh kasih sayang. Saya sentiasa menganggapnya sebagai penggerak dalam usaha saya mengenal diri. Jika saya tidak mengalami kesukaran semasa mengandung, saya mungkin masih lagi mengejar matlamat dunia korporat sedangkan anak saya dijaga oleh pembantu rumah.

Saya memang seorang pengubah hidup. Saya percaya bahawa orang yang pertama kita harus ubah ialah diri kita sendiri. Perubahan besar tidak akan berlaku dalam sehari, tetapi saya dapat rasakan satu gegaran kecil yang menggerakkan diri saya. Dan ia akhirnya berlaku. Saya berjaya mengubah diri. Kita hanya perlu bersabar dan bersungguh-sungguh mahu menjalani hidup dengan cara yang kita fikir terbaik untuk kita, tanpa mengendahkan kata-kata nista yang memperkecil-kecilkan diri kita. Sebagai seorang ibu yang bekerja dari rumah, kita memerlukan cahaya yang dapat menunjukkan jalan supaya ia tidak kelihatan gelap dan menakutkan.

Saya kini seorang ibu sepenuh masa. Satu dunia baru menggamit saya.”

Sumber: SUARAKU: Surirumah

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: