Pengakuan Seorang Ibu Sepenuh Masa

Saya memutuskan untuk menjadi ibu sepenuh masa sewaktu saya mengandungkan anak sulung saya. Tidak susah bagi saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja, kerana memang menjadi hasrat saya untuk sentiasa bersama anak-anak saya, terutamanya pada tempoh tumbesaran mereka. Ibu saya sentiasa berada di samping saya semasa saya membesar, dan begitulah juga, saya ingin berada di sisi anak-anak saya sewaktu mereka pula membesar. Sebagai persediaan untuk menjadi ibu yang cemerlang, saya banyak membaca buku-buku mengenai keibubapaan dan perkembangan anak-anak. Seperti ibu-ibu lain, saya mahukan anak-anak saya mempunyai permulaan hidup yang baik.

Saya tidak menduga betapa beratnya tugas seorang ibu sepenuh masa. Jadual waktu harian saya kini dipenuhi dengan urusan menjaga bayi, menyiapkan makanan, membasuh pakaian dan memastikan rumah saya sentiasa bersih dan kemas. Semuanya saya lakukan sendiri. Waktu bertugas saya kini adalah 24 jam. Keperluan si bayi menjadi keutamaan dan segala tugas lain saya lakukan dengan tergesa-gesa ketika dia sedang tidur. Tak hairanlah saya mula dapati diri saya terbeban dengan begitu banyak tugas. Pada penghujung hari, saya begitu letih dari segi fizikal dan mental. Tak ada peluang langsung untuk mendapat tidur malam yang cukup dan merehatkan, kerana bayi saya akan bangun dua atau tiga kali, sama ada untuk disusui, ditukarkan lampin atau dibelai. Bila menjelang pagi, rutin yang sama akan berulang dan saya tidak nampak jalan keluar dari pusingan yang meletihkan ini. Tugas seorang ibu yang sepatutnya memberi saya kepuasan, kini terasa amat membebankan.

Berikut adalah satu peristiwa yang tidak dapat saya lupakan. Saya merancang untuk menjemput beberapa orang kawan ke rumah untuk makan malam. Sungguhpun mereka mencadangkan agar masing-masing datang membawa makanan, saya, yang terasa diri saya hebat, bertegas untuk memasak. Dan walaupun ketika itu krisis meluas catuan air tahun 1998 dulu sedang berlaku, saya yakin ia tidak akan mendatangkan masalah. Pagi-pagi lagi saya telah bangun untuk memulakan persiapan seperti memotong, menumbuk dan memerap bahan-bahan masakan. Saya akan mula memasak semasa anak saya tidur selama dua jam di waktu tengah hari nanti. Saya perasan bahawa bekalan air telah hampir habis, jadi saya berikan ia keutamaan dengan menadah air sebaik sahaja anak saya terlelap.

Tanpa disangka, segala rancangan saya telah terganggu. Anak saya meragam pula pada hari itu. Waktu tidurnya berlalu tanpa ia berehat sedikit pun, dan saya tidak dapat menenangkannya. Saya pun mulalah berasa gelabah. Bekalan air yang ditunggu-tunggu pula tidak tiba. Masa untuk jamuan makan malam semakin hampir. Saya rasa amat kesal terhadap diri sendiri dan akhirnya terpaksa mengaku kalah dan membatalkan jamuan itu. Berbagai-bagai ingatan bermain di fikiran saya. Satu hari telah terbuang begitu sahaja tanpa satu pun rancangan saya terlaksana. Keadaan rumah tunggang-langgang, kain masih belum dijemur dan tangisan anak kecil saya seakan-akan pukulan penukul ke atas benak saya. Saya berasa bingung dan kecewa terhadap diri sendiri. Sambil menatap wajah di cermin, saya menjerit, “Mana silapnya?” Dan di saat itulah baru saya benar-benar menyedari betapa berat tanggungjawab seorang ibu sepenuh masa.

2 Comments

  1. anonymus said,

    August 23, 2010 at 7:32 am

    ate yang si suami nye dok ngangkang je ke?bantula isteri wat keje umah dan jaga anak2..kena ade kerjasama diantara pasangan,nak harap istri je..matila..saya adalah seorang suami dan isteri saya buknlah seorang suri tapi bekerja juga..dalam hal nie masing2 memerlukan..malam istri tidur,suami setelkan yang dok menangis tu..jgn pk beban..it was our child..biasala

  2. mia said,

    March 5, 2011 at 12:30 pm

    dulu saya adalah seorang pegawai di sebuah organisasi dengan gaji yang agak lumayan juga.dah 3 tahun saya bekerja tanpa masalah, dengan izin Allah swt jodoh saya telah tiba pada tahun 2010.ketika itu saya berumur 25 tahun.majikan saya telah memberikan saya sebulan cuti bagi berbulan madu.beliau ada bertanya adakah saya berminat untuk terus bekerja dengannya walaupun telah berkahwin?namun saya tidak sedia memberikan jawapan.selepas berkahwin (dalam tempoh sebulan berbulan madu itu),saya banyak berfikir tentang diri saya,suami dan anak2 yang bakal lahir nanti..saya berasa penat untuk bekerja lagi.suami tidak menghalang kerana dengan pendapatan yang suami miliki dapat menampung kehidupan kami suami isteri.saya juga merancang untuk hamil dengan segera.lalu saya membuat keputusan untuk meletak jawatan.majikan saya agak kecewa namun beliau menghormati keputusan saya.setelah menjadi surirumah sepenuh masa,saya dapat menjalankan tanggungjawab saya sebagai isteri dengan cemerlang sekali.suami sangat bahagia,saya juga sangat bahagia.suami melantik saya sebagai pembantu peribadinya di pejabat yang diwujudkan di salah sebuah bilik di rumah saya.bermulalah tugas baru saya sebagai pembantu peribadinya yang banyak melaksanakan kerja2 pejabat.saya gembira.suami juga gembira.saya merasakan tidak ada yang memenatkan apabila menjadi surirumah walaupun sudah punyai anak kecil,ditambah lagi bekerja dari rumah.dengan syarat anda perlulah kuat semangat dan paling penting sekali jangan malas!nikmati hidup anda,sayangi dan cintailah keluarga anda dengan sepenuh hati.jangan abaikan tanggungjawab..


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: