Sumbangan Oleh Hazizul

  1. Bekerja untuk masa depan – Suntikan Semangat untuk kita semua.

    “HIDUP mesti diteruskan, betapa berat pun rintangan dan kesusahan,
    kami percaya kami boleh bangkit semula dan kami akan membangunkan
    semula negeri ini, kerana Tuhan tidak suka mereka yang berputus asa.”
    Kata-kata ini dipetik dari sebuah rancangan majalah di kaca televisyen
    yang memaparkan kehidupan selepas bencana gempa bumi yang melanda
    Sumatera suatu ketika dulu.
    Tidak lama sebelum itu mereka ditimpa bencana tsunami dahsyat pada 26
    Disember 2004 yang menelan korban seramai 126 ribu orang. Dan
    berbagai-bagai lagi siri gempa bumi yang menghimpit rakyat Indonesia
    seperti gempa bumi di Yogjakarta pada Julai 2005 dan Bengkulu pada
    September 2007.
    Apa yang menarik untuk direnungkan daripada bencana dan kemusnahan
    yang melanda Indonesia ialah tentang ketabahan rakyatnya untuk
    menghadapi bencana tanpa mengalah kepada nasib semata-mata.
    Begitu juga dengan situasi yang sedang kita hadapi sekarang. Kenaikan
    harga minyak telah melarat menjadi inflasi yang telah memamah
    pendapatan kita.
    Kuasa beli kita menjadi kecil apabila harga barang semakin meningkat
    secara mendadak sedangkan pendapatan kita tidak bertambah. Dan ia juga
    boleh dikategorikan sebagai bencana kerana kita merasai kesusahan,
    keperitan dan kesan yang besar dalam kehidupan seharian.
    Pada masa ini kerajaan sedang bertungkus-lumus berusaha untuk
    mengurangkan beban rakyat dan ada juga kumpulan yang mendakwa boleh
    menurunkan harga minyak sekiranya berkuasa. Dari sudut politik,
    Biarkan pihak yang berkuasa menjalankan tanggungjawab mereka.
    Tetapi apa pula peranan kita secara individu untuk berhadapan dengan
    bencana ini? Apakah kita harus menjerit dan menangis menghadapi
    kegawatan ini? Adakah kita masih mengharapkan harga minyak ini turun
    dengan mendadak pada masa akan datang? Dan jika turun pun, adakah
    harga barangan yang naik ini akan turun juga?
    Kita harus menerima hakikat bahawa apa yang berlaku sekarang adalah
    realiti yang harus kita hadapi. Harga barangan kini semakin mahal dan
    kuasa beli kita semakin berkurangan.
    Katakan dahulu kita boleh menabung sedikit daripada pendapatan bulanan
    kita, kini mungkin semua pendapatan habis digunakan. Dan kalau dahulu
    pada mereka yang langsung tidak dapat menabung, kini sudah pasti
    mereka terpaksa pula mengurangkan barang-barang yang boleh dibeli.
    Kita pernah melalui zaman-zaman susah sekitar krisis ekonomi 1997/98.
    Pada masa itu pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) merosot
    daripada sekitar 7 peratus pada tahun 1997 kepada sekitar negatif 7
    peratus pada tahun 1998.
    Dan pasaran saham Malaysia kehilangan lebih tiga suku dari nilai
    modalnya, atau lebih RM567.34 bilion wang rakyat negara ini hilang
    begitu sahaja akibat daripada kejatuhan harga saham dari Julai hingga
    September 1998.
    Bagaimana caranya kita perlu mempersiapkan mental kita untuk
    berhadapan dengan krisis ini? Kita biasa mendengar seseorang yang
    menghidap penyakit yang boleh membawa maut seperti kanser boleh
    memanjangkan hayat sekiranya mereka berusaha melawan penyakit dan
    tidak hanya melayan kesakitan. Melawan penyakit ini adalah peranan
    mental atau otak dan perasaan. Dan ia mempunyai kesan psikologi yang
    besar.
    Di sinilah peranan psikologi dalam menghadapi bencana ekonomi ini.
    Merungut, meratap dan menangis tidak akan merubah apa-apa.
    Yang penting kita mesti sama-sama berfikiran positif mengharunginya
    dan terus bekerja keras memperbaiki taraf hidup.
    Kalau kita terus melayan kebimbangan dan kesedihan ini, kita mungkin
    tidak boleh bekerja dan termenung yang akhirnya memburukkan lagi
    keadaan. Atau mungkin ada yang bunuh diri atau menjadi gila.
    Setiap kita harus berusaha untuk menambah pendapatan sampingan bagi
    menampung perbelanjaan yang semakin meningkat kerana inflasi.
    Kerajaan sendiri telah pun memberikan keizinan kepada kakitangan
    kerajaan daripada kumpulan sokongan untuk menjalankan perniagaan
    sampingan secara kecil-kecilan untuk menambah pendapatan.
    Satu perkara yang kita jangan lupa ialah untuk sentiasa berdoa kepada
    Tuhan agar bencana yang kita sedang hadapi ini akan berakhir juga satu
    masa nanti.
    Dalam dunia ini tidak ada yang berkekalan. Percayalah bahawa
    kesengsaraan adalah sementara dan kebahagiaan juga sementara. Satu
    hari nanti semuanya akan pulih seperti sedia kala sekiranya kita
    berusaha dan tabah mengharunginya.
    Kita telah membuktikan bahawa kita telah berjaya keluar daripada
    krisis ekonomi lepas dengan cara kita sendiri dan kemudian kita
    kembali makmur.
    Anggaplah kemewahan kita yang lepas sebagai sesuatu yang telah berlalu
    dan tiada lagi. Tapi kita masih ada ruang untuk memperbaiki masa
    depan. Hidup mesti diteruskan.
    Kita harus mengharapkan yang terbaik tetapi bersedia untuk yang
    terburuk. Kita perlu terus bekerja keras membina sesuatu untuk
    generasi akan datang dan mengharungi krisis ini dengan tabah dan
    berani.
    Seperti yang dinyatakan dalam sebuah iklan Petronas; “Adakah apa yang
    kita ada sekarang mampu membawa kita ke masa depan?” Suatu perkara
    yang harus kita renungkan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: