Bekerja dari Rumah: Mimpi Jadi Kenyataan

‘Orang miskin bukanlah mereka yang tidak berwang, tetapi mereka yang tiada impian’ – Harry Kemp

Keinginan saya untuk bekerja dari rumah bermula semasa kandungan saya berada di trimester ketiga. Saya mempunyai keinginan yang kuat untuk meluangkan lebih masa di rumah dengan keluarga saya, dan pada masa yang sama masih boleh berkerjaya. Saya mencari pekerjaan yang boleh dilakukan di rumah, yang menawarkan masa yang fleksibel dan yang boleh menghasilkan pendapatan yang selesa.

Saya menghubungi banyak syarikat dan cuba menjual idea saya supaya saya dapat bekerja dari rumah. Saya pergi ke syarikat dotcom, pemasaran bertingkat, firma penerbitan dan kedai buku kanak-kanak. Kesemuanya agak skeptikal kerana mereka mementingkan kehadiran di pejabat. Walaupun menerima banyak penolakan, saya tidak berputus asa. Saya dapat merasakan bahawa kerja impian saya ada di luar sana. Saya hanya perlu mencarinya.

Hanya apabila anak lelaki saya sudah berumur 6 bulan, barulah saya tahu mengenai Asian-family.com melalui seorang rakan. Saya menghantar resume saya dan dua minggu kemudian saya menerima tawaran sebagai Editor Urusan bagi stesen radio keluarga yang pertama di Internet. Lebih menarik lagi, saya dapat bekerja dari rumah! Hari ini, dua tahun kemudian saya adalah pengarah syarikat tersebut.

Menyediakan Sebuah Rumah Pejabat

Antara perkara pertama yang saya lakukan setelah menerima tawaran itu ialah membuat senarai perkara-perkara yang saya perlukan sebagai persediaan untuk kerjaya baru ini.

Inilah serba ringkas apa yang saya lakukan:

· Cari satu ruang di rumah di mana saya boleh gunakan sebagai pejabat dan melengkapkannya dengan komputer, pencetak, kabinet fail dan peralatan pejabat yang lain.

· Menaik-taraf komputer peribadi saya kepada Pentium III, menambahkan RAM dan ruang cakera kerasnya. Saya juga membeli modem untuk akses kepada Internet.

· Mengatur jadual dengan penjaga anak.

Kebaikan Menjadi Ibu yang Bekerja di Rumah

Saya tidak lagi bergantung kepada jam. Saya membuat jadual di rumah di mana saya bekerja pada waktu pagi, memasak makan tengahari untuk keluarga dan kemudian menyambung kerja pada waktu petang semasa anak-anak sedang tidur.

Saya dapat rasakan yang rakan-rakan saya berasa cemburu apabila saya bercerita tentang kebaikan bekerja dari rumah – tiada kesesakan lalulintas, tidak perlu berpakaian cantik dan yang penting sekali, saya mempunyai masa yang banyak dan berkualiti untuk diluangkan bersama keluarga.

Anak lelaki saya sangat gembira kerana saya sentiasa berada di sampingnya. Kami dapat membuat sesuatu bersama-sama dan saya sentiasa di sisinya ketika dia sakit.

Cabaran Bekerja dari Rumah

Saya berada di situasi yang unik di mana saya berada di rumah hampir sepanjang masa dan rakan setugas saya berada di pejabat ataupun di rumah masing-masing.

Mengekalkan komunikasi yang teratur dengan rakan setugas adalah amat penting. Saya biasanya bergantung kepada telefon, e-mel, Internet, faksimili dan SMS. Syukurlah ada kemudahan teknologi moden! Ia membantu saya membuat kerja tanpa merasa tertekan.

Saya banyak bergantung kepada e-mel untuk membahagi-bahagikan kerja dan untuk memberi arahan kepada ahli kumpulan. Saya juga bermesyuarat secara muka ke muka di pejabat atau di lokasi lain yang sesuai dan menghantar minit mesyuarat melalui e-mel.

Berada di rumah dan mempunyai ahli kumpulan yang berada di lokasi yang berlainan membuatkan saya sukar untuk menilai prestasi mereka. Oleh itu, saya mewajibkan setiap ahli kumpulan menghantar laporan kemajuan mereka setiap minggu. Melalui laporan ini, dapatlah saya menilai samada mereka bersungguh-sungguh dalam kerja mereka.

Saya terpaksa mendorong diri saya sendiri kerana saya tidak ada teman atau penyelia yang dapat melakukannya untuk saya. Saya gembira memberitahu bahawa saya bangga dengan prestasi kerja saya.

Mencapai Keseimbangan

Secara amnya, bekerja dari rumah boleh menjadi agak menyakitkan, terutamanya jika anda juga terpaksa membuat semua kerja-kerja rumah dan memasak untuk keluarga. Kadangkala, ia membuatkan anda berasa tertekan kerana dibebani tugas yang banyak.

Dr. James Dobson, seorang kaunselor keluarga di Amerika, menyifatkan seorang ibu sebagai ahli psikologi, doctor, guru agama, pendidik, jururawat, tukang masak, pemandu teksi, pengawal kebakaran dan kadangkala pegawai polis. Jika dia berjaya dalam kesemua tugas ini, dia boleh melakukannya semula keesokan harinya.

Sandy Anderson, penulis buku Women In Career And Life Transitions, berkata, “untuk mengekalkan keseimbangan, jalanilah hidup menurut nilaian anda sendiri.”

Saya memilih untuk bekerja dari rumah kerana saya mahu masa yang lebih untuk diluangkan bersama keluarga. Oleh itu, jika anak-anak adalah keutamaan saya, saya terpaksa menurunkan tahap tanggungjawab kepada rumahtangga. Saya haruslah belajar melepaskan beberapa perkara demi keutamaan saya.

Merenung kembali kepada keputusan saya untuk bekerja dari rumah, saya gembira mengatakan bahawa saya tidak pernah menyesal. Malah, ia adalah keputusan terbaik pernah saya ambil.

Sumber: SUARAKU: Bekerja Dari Rumah(ehomemakers)

1 Comment

  1. fiza~_n said,

    August 23, 2011 at 5:24 pm

    wahh!…bagus betol la..seronok sy bc artikel nie..tahniah kpd penulis..=)


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: